GARA-gara kehilangan berterusan habitat ais laut akibat perubahan iklim, beruang kutub atau "polar bear" kini disenaraikan sebagai spesies terancam.

Maka tidak hairanlah kematian beruang kutub terakhir di sebuah zoo di Argentina menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis hak asasi haiwan.

Beruang kutub berusia 30 tahun yang diberi nama Arturo itu menjadi ahli keluarga zoo Mendoza lebih 22 tahun.

Hayat Arturo berakhir dalam kurungan pada Ahad.

Usaha memindahkan Arturo ke Kanada sebelum ini menemui kegagalan.

Kejadian ini mengundang kemarahan pertubuhan hak asasi haiwan di Argentina,yang mendesak zoo di barat negara itu ditutup.

Jurucakap zoo tersebut memberitahu Arturo mati akibat komplikasi sakit tua.

Kenyataan itu bagaimanapun dikecam pertubuhan pencinta alam sekitar Greenpeace.

Mereka sebaliknya mendakwa kematian tersebut disebabkan keadaan zoo yang tidak sesuai didiami haiwan tersebut.

Arturo yang digelar "beruang kutub paling sedih di dunia" dilahirkan di sebuah pusat perlindungan di Amerika Syarikat, sebelum dipindahkan ke zoo tersebut ketika berusia 8 tahun.